Logo

Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Peluang Malaysia samar

LONDON - Saingan hoki play off kelayakan Sukan Olimpik 2020 Jepun.

Peluang skuad hoki lelaki negara untuk mara ke Tokyo semakin sukar dan samar apabila tewas 1-4 dalam perlawanan pertama kepada Great Britain awal pagi tadi.

Malaysia memulakan aksi dengan baik apabila mendahului satu kosong melalui, Nabil Fiqri Mohd Noor yang bijak menolak masuk pukulan sudut penalti, Muhamad Razie Rahim pada minit keenam perlawanan.

Pemain negara jelas menunjukkan mutu permainan yang baik dengan aksi kawalan bola yang lebih kemas oleh pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali dan Syed Syafiq Syed Cholan.

Tersentak dengan kesungguhan dan serangan bertalu-talu Malaysia Tigers, pasukan Great Britain cuba mengawal permainan dan meningkatkan serangan balas untuk menyamakan jaringan.

Usaha berhasil apabila Great Britain menyamakan kedudukan dua minit selepas perlawanan suku ketiga menerusi gol padang pemain penyerang, Sam Ward pada minit ke-33.

Great Britain terus mendapat rentak apabila gawang S.Kumar digegarkan pada minit ke-36 melalui jaringan padang Phil Roper seterusnya jaringan Alan Forsyth pada minit ke-42 menjadikan kedudukan 3-1.

Kad hijau diberi kepada Faizal Saari dua minit sebelum perlawanan suku ketiga berakhir selepas melakukan kekasaran.

Pada awal babak keempat, Great Britain semakin selesa untuk mendahului 4-1 selepas pemain mudanya, James Gall menewaskan S Kumar pada minit ke-47 dan membawa bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik hari ini.

Anak didik Roelant Oltmans ternyata perlu bekerja keras untuk membuka peluang baharu pada perlawanan kedua, 11 malam ini, di Lee Valley Hockey & Tenis Centre, London.

Hanya keajaiban mampu menamatkan kemarau gagal layak ke Olimpik sejak edisi 2000 di Sydney, Australia.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.