Tuesday, May 26, 2020

updated 12:37 PM UTC, May 26, 2020

Malaysia cadang Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN pasca COVID-19

  • Published in Nasional

 

KUALA LUMPUR, 14 April - Malaysia hari ini mencadangkan Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN pasca COVID-19.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelan tersebut dirangka bagi memberi tumpuan terhadap beberapa aspek yang merangkumi kewangan, jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.

Berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 menerusi persidangan video, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan pelan itu perlu mengandungi langkah-langkah tersebut bagi menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini.

Antaranya, memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan, serta laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut.

"ASEAN juga perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.

"Malaysia menyokong pengwujudan Dana Khas COVID-19 ASEAN untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan," jelasnya.

Pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN terbukti berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.

Dalam pada itu, Malaysia turut memberi jaminan akan sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik Covid-19 bersama ASEAN.