Wednesday, November 20, 2019
updated 11:04 AM UTC, Nov 20, 2019

Qabil Ambak rayu kepada kerajaan bantu cepatkan proses dapatkan visa khas bagi memasuki Eropah

  • Published in Sukan

PETALING JAYA - Ekuin negara, Mohd Qabil Ambak merayu kepada kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Luar Negeri untuk membantunya mempercepatkan proses mendapatkan visa khas bagi memasuki Eropah.

Qabil yang kini mengikuti siri kelayakan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara Dressage di Eropah telah dihantar pulang Ogos lalu susulan tempoh visa melebihi 90 hari.

Kejadian berlaku di Denmark disebabkan kesilapan pihak Imigresen Denmark yang membenarkannya masuk memandangkan dia sudah lama di sana dan kemudian terpaksa dihantar pulang.

Qabil mengakui kejadian berkenaan adalah kekhilafannya sendiri yang berpunca daripada kesibukan dan keletihan menyertai pelbagai kejohanan siri kelayakan Olimpik sejak Januari lalu.

Pihaknya telah berhubung dengan Wisma Putra berkenaan hal ini namun dimaklumkan mengikut prosedur biasa proses permohonan visa baharu memakan masa satu hingga 8 bulan untuk dibuat.

Qabil kini berada dalam kedudukan 3 terbaik Asia berpeluang cerah untuk mewakili negara ke Tokyo tahun depan yang memperuntukkan dua slot bagi penunggang dari Asia mengikut peraturan Persekutuan Ekustrian Antarabangsa (FEI)

Namun Qabil perlu bersaing sengit dengan wakil New Zealand, Wendi Williamson dan Young Shik Hwang dari Korea Selatan yang turut memburu slot yang sama.

Disebabkan jurang mata yang begitu hampir, Qabil perlu menyertai sekurang-kurangnya 4 kejohanan di Denmark bulan depan bagi memastikan salah satu slot menjadi miliknya.