Tuesday, November 19, 2019
updated 5:17 AM UTC, Nov 19, 2019

JDT atasi Selangor aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia

  • Published in Sukan

LARKIN - Johor Darul Takzim, JDT hanya selangkah mara ke final Piala Malaysia 2019, selepas mencatat kemenangan tipis, 2-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama di Larkin, malam tadi. 

Kemenangan itu juga lebih manis kerana direkodkan pada aksi terakhir Harimau Selatan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, musim ini sebelum ke stadium baru, musim depan.

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad membuka tirai gol menerusi rembatan pada minit ke 14 sebelum Ifedayo Olusegun berjaya menembusi gawang Mohd Farizal Marlias pada minit ke-17.

Aksi rancak ditampilkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama namun tiada tambahan gol direkodkan.

Anak buah Benjamin Mora kembali didepan pada minit ke-49, kali ini giliran Leandro Velanzquez meledak jaringan.

Selangor yang meneruskan asakan tetap gagal menembusi gol sehinggalah tamat perlawanan.

Pengendali Selangor, B.Satiananthan tetap optimis untuk mara ke final dan menganggap baki 90 minit di tempat sendiri bakal menjadi penentu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Moora turut mengakui saingan yang diberikan pasukan Selangor cukup hebat apabila pasukan lawan dilihat mengawal perlawanan dengan baik.

Beliau juga yakin saingan hebat akan diberikan Selangor pada perlawanan seterusnya memandangkan kedua-dua pasukan itu memburu peluang untuk ke Final Piala Malaysia.