Wednesday, October 16, 2019
updated 3:08 PM UTC, Oct 16, 2019

Le Tour de Langkawi jelajah 2020 dapat status Siri Profesional

  • Published in Sukan

FOTO LTdL


PUTRAJAYA - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima khabar gembira apabila perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) mendapat status baharu iaitu Siri Profesional untuk edisi 2020.

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab, berkata, pihaknya menerima surat daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengenai status baharu itu selepas PKBM mengadakan beberapa siri perbincangan dengan badan induk berbasikal dunia itu.

Jelas Datuk Abu Samah, UCI memperkenalkan Siri Profesional bagi menggantikan status Hors Class (HC).

Beliau memberitahu media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk LTdL di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

Sebelum ini, perlumbaan ikonik negara itu kehilangan status 2.0 HC kerana ketiadaan penyertaan pasukan Jelajah Profesional dunia di bawah UCI serta kurang mendapat liputan media antarabangsa pada edisi tahun ini.

Dalam pada itu, Datuk Abu Samah turut mengesahkan LTDL edisi ke-25 tahun depan akan dipanjangkan dari 8 kepada 10 peringkat dengan turut merangkumi laluan Sabah dan Sarawak.

Perlumbaan jelajah itu dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Februari 2020 denan Terengganu sebagai permulaan dan berakhir di Pulau Langkawi.