Saturday, April 4, 2020

updated 12:21 PM UTC, Apr 4, 2020

Rakan Kongsi Liga puji ketelusan MFL

  • Published in Sukan

PETALING JAYA, 21 Feb - Rakan Kongsi Liga Malaysian Football League (MFL) berterima kasih dengan agihan pendapatan penajaan yang diumumkan MFL pada musim 2020 selepas mendengar segala penjelasan pada sesi perjumpaan santai bersama Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Khamis lalu.

Menerusi pertemuan itu, segala persoalan yang dibangkitkan sebelum ini mengenai agihan hak penyiaran dan komersial terlerai dan Rakan Kongsi Liga memuji ketelusan MFL.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata, beliau berpuas hati apabila MFL membentangkan secara terperinci jumlah penajaan serta pendapatan yang dimiliki kepada semua rakan kongsi.

Perkara sama turut disuarakan oleh Setiausaha Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim@Alias, yang menyifatkan usaha yang dibuat MFL sangat baik dalam memastikan kerjasama erat semua rakan kongsi liga iaitu ahli gabungan.

Pada musim 2020, MFL mengumumkan pendapatan penajaan akan diagihkan sebanyak RM 1 juta kepada pasukan-pasukan dalam CIMB Liga Super manakala Liga Premier mendapat RM500,000.

Perkara itu selaras dengan dengan pemberian agihan kepada Rakan Kongsi Liga dibuat berdasarkan 75 peratus daripada pendapatan yang diraih oleh MFL jika jumlah penajaan kepada Rakan Kongsi Liga adalah kurang atau melebihi RM18 juta.