Saturday, April 4, 2020

updated 11:45 AM UTC, Apr 4, 2020

Selepas empat tahun, Kejohanan Golf Terbuka Malaysia kembali dianjurkan

  • Published in Sukan

 

SHAH ALAM, 19 Feb - Selepas kira-kira empat tahun tidak dianjurkan, kejohanan golf berprestij di negara ini, Terbuka Malaysia 2020 kembali.

Edisi ke-55 pertandingan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD1 juta atau kira-kira RM4.14 juta.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (PGM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dengan tajaan dan sokongan baharu dari pelbagai pihak yang membantu menjayakan kejohanan, ia menjadi kekuatan atau nadi baharu untuk PGM menghidupkan semula Kejohanan Terbuka Malaysia.

Beliau ditemui selepas sidang media berhubung kejohanan berkenaan di Kota Permai Country Club, Shah Alam.

Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Winning Master Sdn Bhd, Arep Kulal.

Tambahnya, peminat golf akan berpeluang menyaksikan pemain handalan negara bersaing dengan pemain Jelajah Asia dan Jepun.

Kejohanan golf Terbuka Malaysia 2020 akan membuka tirai pada 5 Mac hingga 8 Mac 2020.

Sebanyak 40 slot disediakan kepada pemain tempatan dengan 30 daripadanya dikhaskan untuk pemain profesional negara.