Saturday, April 4, 2020

updated 11:59 AM UTC, Apr 4, 2020

Pengadil bertaraf FIFA untuk perlawanan Piala Sumbangsih 2020

  • Published in Sukan

KELANA JAYA, 19 Feb - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyediakan pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, FIFA untuk mengendalikan perlawanan Piala Sumbangsih musim 2020.

Ia bagi memberikan satu dimensi baru mutu pengadilan bertaraf antarabangsa dalam Liga Malaysia.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Md Dali Wahid, 30 pengadil baharu turut dilantik untuk mengendalikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana musim ini bagi menampung pengadil yang sedia ada.

Lebih membanggakan, FAM turut menyenaraikan dua pengadil wanita iaitu seorang pengadil dan seorang pembantu pengadil yang julung kali akan mewarnai kancah Liga Malaysia 2020.

Tambah beliau, pengenalan pengadil baharu ini dibuat selepas mereka lulus ujian yang dijalankan badan induk itu Septembar lalu bagi mengharungi Liga Malaysia yang membuka tirai 28 Februari ini.

Kemeriahan Liga Malaysia akan dimulakan dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara Juara Liga Super musim 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Juara Piala FA musim lalu, Kedah yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Seminar Pengadil dan Undang-Undang Bola Sepak dengan Kerjasama FAM dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).