Tuesday, February 25, 2020

updated 1:27 PM UTC, Feb 25, 2020

APMM rampas 56 unit bubu naga atau bubu kambang bernilai RM4,480

  • Published in Berita Semasa

KUALA PERLIS, 15 Feb - 56 unit bubu naga atau bubu kambang bernilai RM4,480 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM Zon Maritim Kuala Perlis.

Dalam kejadian pukul 4.05 petang hingga 7.15 petang semalam, kesemua bubu berkenaan dipasang di perairan Kuala Perlis pada lima lokasi yang berbeza iaitu sekitar jarak 0.8 dan 1.1 batu nautika dari barat daya Kuala Perlis.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan menerusi Ops Aman mengesan pelampung berwarna putih yang dipasang sebagai penanda kepada bubu berkenaan.

Bubu naga berkenaan dipercayai dipasang nelayan asing di lokasi yang menjadi lubuk untuk mendapatkan hasil laut oleh nelayan tempatan.

Kejayaan rampasan berkenaan adalah kes kedua sepanjang tahun ini bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis selepas kejadian yang sama pada 14 Januari lalu.

APMM memandang serius nelayan yang menggunakan kaedah tangkapan tidak dibenarkan untuk menangkap ikan kerana bukan sahaja menyekat rezeki nelayan tempatan malah turut menggugat pendapatan mereka.

Kesemua bubu naga tersebut kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan kes disiasat dibawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.