Tuesday, February 25, 2020

updated 1:27 PM UTC, Feb 25, 2020

Lelaki meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki gunung

  • Published in Berita Semasa

KOTA BHARU, 15 Feb - Mayat seorang lelaki yang meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika mendaki Gunung Basor, Kuala Balah, Jeli Rabu lepas, berjaya dibawa turun pukul 8 pagi tadi.

Mayat Zulkifli Ibrahim, 43 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dibawa turun dengan bantuan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan pendakian mengambil masa 6 jam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohammad Piah, operasi membawa turun mangsa mengambil masa lama berikutan keadaan hutan yang belum pernah diterokai selain awan tebal dan kanopi pokok meliputi kawasan kejadian.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kota Bharu yang berlangsung di Taman Binaraya 3, Kampung Limbat, Kubang Kerian, Kota Bharu.

Sebelum ini, mangsa bersama tiga rakannya memulakan perjalanan pada pukul 12 tengah hari Rabu lalu bertujuan membuat trek mendaki untuk pelajar universiti.

Namun kira-kira pukul 7.30 malam, apabila tiba di permatang Gunung Basor, mangsa mengadu sesak nafas dan meninggal dunia.

Seorang rakan mangsa turun dari Gunung Basor dan membuat laporan di Balai Polis Kuala Balah.