Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

FAM akan kemukakan aduan rasmi kepada FIFA dan AFC susulan insiden kekecohan ketika aksi Malaysia berdepan Indonesia

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia, AFC susulan insiden kekecohan ketika aksi Malaysia berdepan Indonesia di Jakarta.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata FAM sedang mengumpul bukti kukuh berhubung insiden berkenaan sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada kedua-dua badan induk tersebut.

Beliau menegaskan hooliganisme dan gangsterisme tidak patut wujud dalam bola sepak dan FAM mengakui amat kecewa dengan gangguan penyokong Indonesia pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno.

Katanya FAM menganggap Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) melalui pihak berkuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang berlaku, justeru gagal mengotakan janji serta persefahaman yang dicapai sebelum ini.

Bagaimanapun, 'fairplay' dan professionalism telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau memuji penyokong Malaysia yang dilihat bertindak balas secara positif dan tidak mengikut sebarang provokasi yang dicetuskan penyokong Indonesia.

FAM juga berterima kasih atas sokongan padu penyokong Malaysia dan mendoakan keselamatan mereka yang masih berada di Indonesia, dan menggesa penyokong Harimau Malaya untuk mengelak sebarang provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia. ##