Thursday, 8 December 2022

RTM perkasa kandungan, sampaikan mesej kerajaan dengan berkesan - Fahmi Fadzil

(Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil disambut oleh Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohammad Mentek dan
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud, sebaik tiba di wisma TV, RTM hari ini)

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Jabatan Penyiaran (RTM) harus meneliti dan berusaha dalam menambah baik serta memperkasa kandungan di media tradisional dan platform dalam talian.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, ia bagi memastikan mesej kerajaan berkaitan dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dapat disampaikan dengan lebih baik.

Dengan cara ini, secara tidak langsung mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan berkaitan dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dapat diterima dengan lebih meluas dan seterusnya menjadi tular di setiap platform.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek)

"Tapi apa yang saya lihat, bila kita hasilkan sesuatu kandungan itu, sebenarnya format yang berbeza, dan ini adalah satu perubahan besar kepada RTM.

"Maksudnya kita tidak lagi tengok tv tetapi kita melihat pada kandungan sama ada intipati yang dihasilkan melalui tv, radio atau media sosial itu sendiri memberi info dan impak kepada rakyat," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat dan membuat lawatan di Angkasapuri, Jabatan Penyiaran Malaysia hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek. 

Beliau juga berharap, warga di jabatan penyiaran akan lebih bersedia untuk melakukan perubahan dari segi kandungan yang kreatif, dan tidak tertakluk dengan set mahu pun konsep yang lama.

"Itu mungkin satu cabaran, setidak-tidaknya saya lihat pengurusan tertinggi jabatan penyiaran mahupun penerangan perlu ada kesediaan untuk menilai apa yang 'what work', 'what doesnt work', 'how can we do better'," katanya.

Sementara itu, hak kebebasan bersuara di negara ini tetap dipertahankan namun ia haruslah berlandaskan kepada undang undang.

Ahmaf Fahmi berkata, kebebasan berkenaan tidak harus sampai ke tahap menyebarkan fitnah dan mengeluarkan tohmahan yang tidak berasas.

Beliau menegaskan, tetap mempertahankan prinsip kebebasan bersuara seperti yang diamalkannya sebelum ini.

"Saya sendiri sebagai seorang ahli politik, ahli parlimen dan seorang menteri memang pertahan hak bersuara, tetapi bila kita teliti undang-undang termasuk kanun keseksaaan dan akta komunikasi dan multimedia sebagai contohnya, ada batas-batas sekiranya dilakukan atau dilepaskan, tetap ada tindakan undang undang.

"Kita tidak mahu rakyat salah faham, saya akan pertahankan hak bersuara tetapi jangan sampai menyebarkan fitnah, mengeluarkan tohmahan tidak berasas. Biar kita cakap berasas termasuklah boleh pertahankan dalam mahkamah," katanya.

Ahmad Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat dan membuat lawatan ke Jabatan Penyiaran.

Turut hadir, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Ahmad Fahmi memaklumkan, antara fokus kementeriannya kali ini adalah menjalinkan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan penyedia platform media sosial.

Langkah ini bagi memastikan hasrat kerajaan dalam menjaga hak kebebasan bersuara dan pada masa yang sama batas undang undang sentiasa diawasi dan dipatuhi.

  • Written by Media Baharu
  • Category: Semasa
  • Hits: 55