Monday, July 6, 2020

updated 11:55 AM UTC, Jul 6, 2020

PM Mahu Projek Suriaku Dan Program Pengurusan Estet Padi Diperluaskan

Ptrajaya - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperhebatkan usaha pembangunan projek pemasangan panel solar, SuriaKu dan Program Pengurusan Estet Padi (EMM) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Datuk Seri Najib yang juga Menteri Kewangan turut mahu projek yang terbukti berjaya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat melalui projek perintis di Pauh, Perlis dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang itu diperluaskan demi kebaikan penduduk di negeri lain dalam koridor itu.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq berkata perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat ke-16 NCIA yang berlangsung selama lebih satu jam di Bangunan Perdana Putra.

Dalam taklimat media mengenai prestasi enam bulan pertama NCER, Redza berkata Datuk Seri Najib teruja dengan kejayaan dua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu khususnya SuriaKu yang berjaya menambah pendapatan peserta antara RM400 hingga RM700 sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca.

"Perdana Menteri juga mahu Program Pengurusan Estet Padi yang dijalankan di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dikembangkan segera ke negeri lain berdasarkan keupayaan projek itu meningkatkan penghasilan padi sehingga enam tan sehektar dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1,400 per tan," katanya.

Redza berkata NCIA menyasarkan untuk menarik 300 lagi peserta dari kalangan B40 untuk terlibat dalam projek SuriaKu daripada 21 buah rumah yang terlibat pada masa ini dan bilangan penglibatan petani juga akan terus dipertingkatkan daripada 1,067 orang yang menyertai EMM ketika ini.

Program SuriaKU merupakan inisiatif yang diperkenalkan NCIA untuk membantu masyarakat luar bandar menjana elektrik yang kemudiannya dijual kepada syarikat yang berminat, sekaligus membantu menjana pendapatan tambahan dalam kalangan peserta dengan sasaran mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 151