Tuesday, June 2, 2020

updated 12:18 PM UTC, Jun 2, 2020

Kerajaan Sasar Peserta Projek Akuapolitan Terima Pendapatan RM5,000 Sebulan - PM

 

Kuala Nerus - Kerajaan menyasarkan peserta Projek Akuapolitan Kuala Nerus dekat sini yang dilancarkan untuk menerima pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi projek bersepadu itu ia dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup nelayan yang selama ini dibelenggu kemiskinan ekoran kekurangan hasil laut dan masalah permainan harga orang tengah.

"Ia merupakan projek perintis dikenali sebagi 'Sea Felda' iaitu yang mirip dengan skim Felda tetapi disesuaikan dengan masyarakat nelayan.

"Ini merupakan sejarah baharu kerana projek ini merupakan idea baharu yang belum pernah diadakan di mana-mana tempat atau negara lain," katanya pada majlis pelancaran projek itu di Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Muara Utara, hujung Tanjung, Kampung Seberang Takir.

Projek ini dibangunkan dengan kerjasama antara ECERDC, kerajaan Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ia akan mewujudkan satu ekosistem perikanan yang bersepadu dan mampan termasuk pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran-restoran.

Projek ini akan dimulakan dengan penyertaan sebanyak 400 orang nelayan bersama anggota keluarga mereka.

Datuk Seri Najib dalam pada itu berkata projek berkenaan akan membawa transformasi besar kepada kawasan berkenaan di mana kerajaan telah membuat pelaburan berjumlah RM400 juta bagi mengubah nasib nelayan di kawasan itu.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO begitu komited dalam membantu rakyat negara ini khususnya yang berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 366