Friday, 19 August 2022

Zahid Hamidi : 7 pertuduhan terima rasuah lanjut kontrak Syarikat Ultra Kirana

 

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dihadapkan di Mahkamah atas 7 pertuduhan menerima rasuah lebih 4.2 juta dolar Singapura bagi melanjutkan kontrak Syarikat Ultra Kirana sebagai pengendali One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suatu suapan daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat berkenaan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun. Denda tidak kurang dari 5 kali ganda nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jami sebanyak RM 200,000 dengan seorang penjamin.

31 Julai ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, tertuduh yang juga Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

 

  • Written by Media Baharu
  • Category: Semasa
  • Hits: 997