Tuesday, January 28, 2020

updated 2:57 PM UTC, Jan 28, 2020

Seorang remaja diperintah bela diri bersabit tuduhan bunuh 23 penghuni pusat tahfiz pada 2017

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang remaja membela diri atas tuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada tahun 2017.

Manakala seorang lagi remaja dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Keputusan dibuat Hakim Azman Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama, namun gagal membuktikan kes sama terhadap tertuduh kedua.

Tertuduh pertama, kini berusia 19 tahun, menangis selepas dimaklumkan dia diperintah membela diri, dan cuba ditenangkan ibunya ketika duduk di kandang tertuduh.

Manakala, tertuduh ke-2 yang juga rakannya, kelihatan terpinga-pinga selepas dibebaskan dari pertuduhan.

Perbicaraan bela diri ditetapkan selama dua hari bermula 2 Mac nanti.

Seramai 71 saksi memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pada September 2017, kedua-dua remaja itu didakwa bersama membunuh dan menyebabkan kematian penghuni asrama tahfiz terbabit di Kampung Datuk Keramat antara 4.15 dan 6.45 pagi pada 14 Januari.

Disebabkan kedua-duanya di bawah umur, kes tertakluk di bawah Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang menghalang mereka dikenakan hukuman mati, tetapi digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup.

  • Ditulis oleh Media Baharu
  • Kategori: Berita Semasa
  • Jumlah paparan: 83