Monday, 27 March 2023

PM pengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

  • Published in Semasa

(Datuk Seri Anwar mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan
di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 20 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn di sini.

Agenda utama mesyuarat itu ialah strategi menentukan hala tuju sekali gus memperkukuh kerajaan perpaduan.

"Kita teruskan rundingan ini bagi membincangkan hal-hal kerajaan, bincang pandangan mereka juga untuk menyantuni rakyat dan memastikan program-program rakyat itu dilaksanakan lebih berkesan," kata Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Jelasnya, kerajaan akan menumpukan usaha memperkasakan ekonomi bagi meraih kepercayaan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

Mesyuarat ini juga menjadi platform penting bagi memastikan kerjasama terutama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) berupaya meningkatkan potensi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri.

Mesyuarat itu turut dihadiri pemimpin utama UMNO dan BN, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Hadir sama, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof;  Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook.


                                                                                   (Datuk Seri Anwar mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan)