Kerajaan jamin hapus peruntukan AUKU sekat kebebasan mahasiswa
- Written by Media Baharu
- Published in Semasa

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menghadiri Dialog Anak
Muda Temu Anwar sempena Pameran Memperkasa Belia 2023 di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kerajaan memberi jaminan akan menghapuskan peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu juga akan dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Walaupun kerajaan memaklumkan bahawa ia tidak akan dimansuh namun beberapa peruntukan dalam akta itu yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan salah seorang peserta Dialog Anak Muda - Temu Anwar mengenai pendiriannya berhubung akta berkenaan.
Anwar dalam masa sama turut berkongsi bahawa penubuhan akta sejak lebih 50 tahun lalu itu adalah disebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menyekat dirinya daripada memasuki universiti.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat tapak pameran pada Majlis
Pameran Memperkasa Belia 2023di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)/BERNAMA)
Pada 16 Mac lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mohammad Yusof Apdal dilaporkan berkata, kerajaan belum bercadang memansuhkan Auku 1971, namun berpendapat akta berkenaan lebih sesuai dipinda.
Beliau turut menyifatkan, pengenalan akta baharu menggantikan AUKU umpama 'sekadar salin kulit' sahaja.
"Kementerian juga berpandangan, perkara-perkara yang dilihat boleh ditambah baik atau dipinda hendaklah diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya," katanya.