Kerajaan pertimbang tamat monopoli Touch n Go
- Written by Media Baharu
- Published in Semasa

(FOTO FAIL/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 19 Mac- Monopoli Touch n Go (TNG) mungkin dipertimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab pertayaan salah seorang peserta program Temu Anwar yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk menamatkan monopoli syarikat berkenaan dalam sistem pengangkutan dan jalan raya negara
“Touch n Go telah beroperasi selama lebih dua dekad, belum ada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dalam sistem ini.
"Saya rasa anda betul, kita perlu mempertimbang semula perkara ini,” katanya.
Dianggarkan terdapat lebih 20 juta kad Touch n Go dalam edaran yang mewakili hampir 91 peratus transaksi di 31 lebuh raya di seluruh negara.
Program dialog anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) tersebut dikendalikan oleh selebriti Amelia Henderson.
Ia dihadiri lebih 5,000 anak muda yang berpeluang bertanyakan pelbagai soalan kepada pemimpin nombor satu negara itu.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Dialog Anak Muda Temu Anwar sempena
Pameran Memperkasa Belia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur/BERNAMA)
Program Temu Anwar merupakan medan untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja terutamanya anak muda bertanyakan soalan terus kepada Anwar itu tanpa halangan yang dimulakan sejak 2009.
Pada program berkenaan hari ini, Anwar menyantuni ribuan anak muda bagi menjawab pelbagai soalan secara santai dan terbuka.
Menerusi program hampir dua jam itu, Anwar menjawab berpuluh-puluh soalan berkaitan isu semasa termasuk peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi.
Pemimpin nombor satu negara itu turut meluangkan masa melayan ragam peserta yang ingin berswafoto