Monday, 27 March 2023

23 Pusat internet komuniti diwujudkan di Sarawak

  • Published in Semasa

KUCHING, SARAWAK, 19 Mac- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mewujudkan sebanyak 23 buah Pusat Internet Komuniti di bawah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Sarawak dalam masa terdekat.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata ini bagi menambah 133 PEDi sedia ada sekali gus memudahkan komuniti setempat untuk mendapat capaian Internet.


(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching)

Jelasnya, perkara itu antara sasaran yang diletakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas iaitu memastikan sekurang-kurangnya sebuah PEDi diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Katanya, KKD tahun ini juga merancang akan menambah PEDi mengikut kawasan dan keluasan kawasan DUN tersebut.

Menurut Teo lagi, impak positif daripada pelaksanaan PEDi ini akan membantu mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 25.5 peratus

"Pelaksanaan ini sangat penting untuk memastikan masyarakat kita dapat mengubah perniagaan, suri rumah, mempromosi dan mengajar rakyat kita mengunakan internet dengan cermat dan ini antara agenda kita," katanya.

Beliau optimis penubuhan PEDi yang tertumpu di kawasan luar bandar dan pedalaman juga menawarkan program latihan teknologi maklumat dan komunikasi selain turut bertindak sebagai pusat transformasi dan pemangkin ekonomi digital kepada usahawan menerusi bantuan pendigitalan dan peniaga kecil akan diperkasakan dengan pengetahuan internet dan e-Dagang.

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Penyiaran Sarawak di Kuching.

Katanya, lawatan singkat ke RTM Sarawak itu merupakan lawatan kerja pertama beliau selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri pada Disember lepas untuk mengenali dengan lebih dekat situasi agensi-agensi di bawah KKD.

Dalam lawatan itu, beliau turut diiringi oleh Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak, Nasrul Hakim Md Noh turut mengadakan sesi temu bual di konti SARAWAKfm.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching turut berkesempatan mengadakan lawatan singkat di teleport satelit di Samajaya, Kuching. Lawatan sekitar setengah jam itu bagi menyaksikan kemampuan prasarana pembekal perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini.

Pada lawatan itu, Teo Nie Ching turut diberikan taklimat mengenai operasi prasarana tersebut daripada Pengarah Pengurus Reach 10, Leo Chin Yu Lay.

Reach 10 yang dilancarkan dua tahun lalu di Kuching mempunyai tujuh satelit pemancar dan pemantul ke tujuh satelit termasuk Measat.

Ia meliputi jaringan yang meluas di seluruh negara, satelit hub dan teleport terdapat di Samajaya merupakan satelit yang tercanggih pernah dibangunkan di Sarawak.

Ia membekalkan perkhidmatan 24 jam kepada pelanggan-pelanggan di seluruh negara.

Selain di Kuching Reach 10 juga memiliki beberapa hub satelit di Cyberjaya, Selangor.