Monday, 27 March 2023

Hak bersuara: Jangan sampai pecah belah masyarakat, kaum, agama

  • Published in Semasa

(Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Dialog Anak Muda
‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi hak bersuara rakyat selagi tidak menyentuh soal kaum dan agama serta memecah belahkan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertindak ke atas seseorang itu hanya kerana memberi pandangan.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada sesi soal jawab terbuka yang dihadiri lebih 8,000 belia.

Mereka yang hadir diberi peluang untuk bertanya terus kepada Anwar bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pemerkasaan belia.

Temu Anwar merupakan kesinambungan program Dialog Anak Muda anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) yang diperkenal sejak 2009.

Ia diadakan sempena Youth Empowerment Fair yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

(Program Dialog Anak Muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur)

Sementara itu pada sesi sama, Anwar berkata, konsep Madani juga akan terus memperkasakan rakyat termasuk anak muda.

Ia merupakan kerangka membina masyarakat yang menyeluruh kepada semua aspek.

"Kalau kita rangkul kesemuanya,dan perbaiki islah untuk meningkatkan mutu pendidikan, kemudahan kesihatan selain pembasmian kemiskinan dilaksanakan dengan cara lebih berkesan bagi mendepani beberapa cabaran baru digitalisasi.

"Terangkum dalam satu aspek dirangkul semua dan kalau ada satu minat tu dilaksanakan ke tahap terbaik maka kita boleh angkat masyarakat Madani ini," katanya.