Monday, 27 March 2023

RM2 juta untuk naik taraf enam balai bomba Kelantan

  • Published in Semasa

BACHOK, 19 Mac - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukkan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kelantan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata peruntukan tambahan itu bertujuan menaik taraf serta menyelenggara enam balai bomba di negeri itu.

Beliau berkata, antara balai yang terlibat adalah balai bomba Kota Bharu, Machang, Rantau Panjang, Kuala Krai dan Ibu Pejabat Bomba Kelantan di Tunjung.

Beliau berharap, dengan tambahan peruntukkan ini ia sedikit sebanyak meringankan beban dan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan bomba dalam menghadapi cabaran.

"Saya sekali lagi menambah peruntukan kepada Jabatan Bomba negeri Kelantan, RM2 juta peruntukkan tambahan diluluskan hari ini untuk menyelenggara serta menaik taraf enam balai bomba termasuk balai bomba Kota Bharu, Balai Bomba Machang, Balai Bomba Rantau Panjang, Balai Bomba Kuala Krai juga ibu pejabat bomba Kelantan," kata Nga Kor Ming di sini.

(Nga Kor Ming bercakap kepada pemberita  selepas
Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air peringkat negeri Kelantan di Pantai Senok)

Selain itu, beliau turut mengumumkan kenaikan Bayaran Insentif Menyelam (BIM) dari RM100 kepada RM200 berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, KPKT dengan kerjasama JBPM negeri Kelantan menjalankan kempen kesedaran keselamatan di air bagi menyebarkan informasi dan meningkatkan kesedaran kepentingan keselamatan semasa menjalankan aktiviti di air.

Berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sepanjang tahun 2022 seramai 255 orang mangsa telah dilaporkan meninggal dunia akibat lemas dengan menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.