Banjir Johor: Murid tidak perlu pakai seragam sekolah
- Written by Media Baharu
- Published in Semasa

ISKANDAR PUTERI, 19 Mac - Pelajar dan murid terjejas banjir di Johor diberi kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah untuk tempoh hingga dua bulan.
Kelonggaran itu diberi bagi mengurangkan beban keluarga yang perlu menggantikan pakaian seragam anak mereka.
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sudah diarah mengumpulkan data pelajar dan murid terjejas banjir supaya bantuan bersesuaian dapat disalurkan.
"Kerajaan negeri juga akan memantau proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pelajar, selain memberi bantuan gajet kepada pelajar yang tiada peranti untuk mengikuti kelas berkenaan," kata Norlizah kepada pemberita dalam sidang media di luar Persidangan Dewan Negeri Johor, di sini.
Jumlah pelajar yang tiada peranti akan dikenal pasti bagi memudahkan mereka mengikuti PdPR seterusnya meringankan beban keluarga.
(Norlizah Noh (tengah))