Laporan polis meningkat, bukti masyarakat selesa berurusan
- Written by Media Baharu
- Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima peningkatan laporan dan aduan kes di Wilayah Persekutuan sebanyak 71,000 pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, peningkatan ini menunjukkan indikator bahawa masyarakat senang bekerjasama dengan pihak polis. Berdasarkan data yang direkodkan, sejumlah 470,000 laporan polis telah diterima pada tahun 2022 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
(Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim)
"Selaku Ketua Polis Kuala Lumpur ingin memberi perakuan betapa di KL ini malah sebenarnya di seluruh negara, tiada seorang pun pegawai kanan polis membiarkan sebarang perilaku jenayah berlaku di depan mata dia tanpa tindakan, ini mustahil. Polis akan mengambil tindakan ke atas sebarang perlakuan jenayah yang berlaku dihadapan matanya, kita berikrar utnuk memberikan yang terbaik demi keselamatan dan ketenteraman awam," beliau berkata demikian ketika ditemui Program High Profile Policing bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Esplanade Kuala Lumpur Convention Centre, di sini.
PDRM menyeru agar orang awam terus memberi kerjasama dan hadir membuat laporan polis secara fizikal dan juga secara atas talian untuk sebarang kes yang berlaku bagi tindakan seterusnya.
Pihaknya memberi jaminan akan mengambil tindakan segera bagi setiap laporan yang dibuat.
Sementara itu, Datuk Azmi berkata, 7 individu telah diambil keterangan oleh pihak polis berkaitan laporan satu perarakan berkaitan dengan gaya hidup songsang di ibu negara.
Keterangan 7 individu itu, termasuk penganjurnya akan melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan selanjutnya.
"Kita dalam usaha melengkapkan kertas siasatan, beberapa keterangan telah kita ambil kalau tidak silap saya tujuh individu telah kita ambil percakapan mereka, kalau tiada halangan kita mensasarkan 21hb ini iaitu hari selasa untuk kita rujuk siasatan ke pejabat timbalan pendakwaraya," katanya di sini.
Ahad lalu, polis mengesan seramai 150 orang terlibat dalam perhimpunan dipercayai ada kaitan dengan pesta LGBT yang dikatakan berlaku di hadapan Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka.