Lorong Seni Seremban, tarikan pelancongan Negeri Sembilan
- Written by Media Baharu
- Published in Semasa

SEREMBAN, 19 Mac- Sentuhan kreatif enam pelukis tempatan, dengan lebih 30 corak lukisan mural, menjadikan Lorong Seni Seremban, antara lokasi pelancongan di Negeri Sembilan.
Melalui laluan sepanjang 500 meter pengunjung disajikan lukisan mural berkonsepkan pelbagai genre, grafiti, serta poster.
Selain lukisan bermotif keunikan adat Negeri Sembilan, pengunjung juga boleh melihat wajah-wajah penyanyi terkenal tanah air, seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Alleycats.
Lorong Seni Seremban itu juga membawa pengenalan identiti Negeri Sembilan menerusi lukisan mural.
Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Mas Midyawan Yahya, menjelaskan perkataan MBS yang digunakan sebagai akronim Majlis Bandaraya Seremban diolah kepada Makanan Budaya dan Sejarah, yang diaplikasikan di lorong ini.
"Apa yang dapat kita lihat pada hari ini yang ada di lorong seni bermula daripada Jalan Syed Ahmad sehingga Jalan Datuk Abdul Rahman di bandaraya Seremban adalah satu gambaran Seremban adalah satu bandar yang boleh dikunjungi kerana kita memiliki makanan yang sedap selain budaya yang patut dipelajari serta sejarah yang sangat menarik,"katanya kepada pemberita RTM.
Bagi menggalakkan aktiviti di Lorong Seni itu, MBS sedia bekerjasama dengan pelbagai agensi terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri.
(Mas Midyawan Yahya)