Monday, 27 March 2023

RTM terima pengiktirafan PGDM Annual Digital Award 2023

  • Published in Semasa

BANGI, 19 Mac- RTM menerima pengiktirafan “Perkhidmatan Cemerlang dan Sumbangan Sepanjang Zaman kepada Masyarakat Malaysia" oleh Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM) menerusi PGDM Annual Digital Award 2023.

Pengerusi PGDM Datin Seri Harnie Mohamed berkata, anugerah itu sebagai penghargaan buat RTM yang telah menyalurkan pelbagai informasi serta hiburan sejak 77 tahun lalu.

"Semasa kita kecil, memang kita tonton RTM sebab itu sahaja siaran yang ada pada ketika itu. Sekarang, banyak pilihan digital yang baharu. Jadi kita tak boleh melupakan RTM yang menjadi pelopor penyiaran dari zaman hitam putih sehingga sekarang," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah RTM Putri Joliana Yaacob pula berkata, pengiktiran yang diberi PGDM adalah sebagai pemangkin semangat kepada semua pekerja.

"Saya menganggap ini jabatan punya penganugerahan jadi memang jiwa kreativiti pekerja-pekerja RTM dihargai sepanjang 77 tahun perkhidmatan kita sehingga kini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada PGDM sekali lagi di atas pengiktirafan yang diberikan kepada RTM," katanya kepada pemberita di PGDM Annual Digital Award 2023 di sini.

Anugerah itu julung kali dianjurkan bertujuan menghargai usahawan, individu perseorangan serta rakan strategik dari dalam dan luar negara.

Dalam majlis itu juga, sebanyak 32 anugerah telah diberikan termasuk kepada Persatuan Veteran RTM.

(Putri Joliana Yaacob)