Monday, 27 March 2023

Wan Azizah lancar buku Pesona Personaliti

  • Published in Semasa

(FOTO BERNAMA)

SHAH ALAM, 18 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini melancarkan buku Pesona Personaliti: Seni Mengenal Diri dan Mengubah Peribadi terbitan Karya Bestari.

Buku berkenaan merupakan karya sulung perunding imej bertauliah, Muna 'Izzah Fadzil.

Buku bacaan umum khusus untuk wanita itu merupakan garapan dan pengalaman peribadi penulis berkait dengan pembinaan peribadi dan sikap positif.

Selain itu, ia turut berkongsi tip dan teknik yang boleh dipraktikkan pembaca bagi membantu mendepani cabaran kehidupan seharian.


(Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama penulis buku
Muna 'Izzah Fadzil (kanan) selepas Majlis Pelancaran Buku Pesona Personaliti di Shah
Alam/ Foto BERNAMA) 

Wan Azizah dalam ucapannya berkata karya seperti itu perlu diperbanyakkan bagi membantu pembaca membaiki diri ke arah yang lebih positif selain memupuk nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Beliau turut menyeru masyarakat agar memainkan peranan yang aktif sebagai agen perubahan dalam komuniti.

"Kita memerlukan lebih banyak karya atau naskah sebegini yang seharusnya mampu membawa pembaca memperbaiki diri ke arah yang lebih positif. Hal ini penting lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana kita menikmati pelbagai hidup ini dengan pantas, semua virtual dan boleh diakses di mana-mana di hujung jari, ada yang baik ada yang buruk, tapisan itu amat penting terutamanya kepada anak-anak muda," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan, di sini hari ini.

Naskhah buku tersebut boleh didapati di www.karangkrafmall.com atau di semua kedai buku berhampiran dengan harga RM30.