Wednesday, 1 February 2023

 

Sanggup tinggalkan tunang, demi lepaskan diri daripada pemeriksaan JPJ

  • Published in Semasa

GEORGE, TOWN, 26 Januari- 301 saman dengan pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Khas Motosikal, sempena perayaan Tahun Baharu Cina, malam tadi.

Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, operasi selama empat hari itu berdepan pelbagai ragam penunggang motosikal yang cuba untuk mengelak daripada pemeriksaan.

Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada perlindungan insuran serta pengubahsuaian motosikal.

Menerusi operasi tersebut, sebanyak 2,041 buah motosikal berjaya diperiksa.

"Sepanjang empat hari operasi ini, kita telah periksa 2,041 buah motosikal dan daripada jumlah itu 301 saman kita keluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ada juga kes yang tinggalkan tunang demi nak elak pemeriksaan. Pelik, sebab kita tak saman pembonceng, kita saman yang menunggang motosikal itu," kata Adenan kepada pemberita RTM pada operasi malam tadi, di sini.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


(Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa)