Wednesday, 1 February 2023

 

Kapal persiaran terkandas, selesai dibaik pulih, dibenar belayar -JLM

  • Published in Semasa

MERSING, 25 Januari- Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung sebuah kapal jenis ‘pleasure craft’ dikesan tersadai di sekitar Pantai Tanjung Kempit, Endau, di sini.

Menerusi satu kenyataan, JLM memaklumkan bahawa kapal itu telah memohon izin belayar ke Manila, Filipina pada 20 Januari lalu, tetapi ditangguhkan kerana amaran angin kencang kategori dua.

"Kapal itu kemudiannya dapat belayar semula pada pukul 9 malam keesokan harinya (21 Januari) setelah peringatan waspada tersebut sudah ditarik balik Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Sehubungan itu, orang ramai terutama komuniti maritim dinasihatkan tidak panik dengan kehadiran sebuah kapal persiaran mewah asing yang rosak terkandas di Mersing, Johor.

“Insiden ini tidak melibatkan sebarang kecederaan, kematian atau tumpahan minyak, malah tidak mengganggu keselamatan pelayaran di kawasan kejadian tersebut,” katanya.

Kapal yang dibina di Britain dan berpendaftaran di Guinea itu membawa enam orang kru iaitu seorang warga China dan lima rakyat Taiwan dengan tanpa penumpang.


(FOTO Jabatan Laut Malaysia)

Siasatan awal JLM mendapati, tampalan gentian di luar badan kapal itu tiba-tiba pecah menyebabkan air laut masuk ke bilik enjin dan mengakibatkan kaptennya hilang kawalan.

“Ia seterusnya terkeluar daripada alur pelayaran ditetapkan dan kipas kapal turut terkena batu sebelum ditolak ombak kuat ke bahagian pantai ekoran air pasang besar,” jelasnya.

Sehubungan insiden tersebut, kakitangan Pejabat JLM Teluk Gading telah ke lokasi itu untuk mendapatkan gambaran sebenar dan membuat pemeriksaan ke atas badan kapal.

Agensi berkenaan katanya, sudah berhubung terus dengan pihak ejen Lucky Seven untuk memperoleh maklumat lebih lanjut mengenai status semasa kapal persiaran kecil itu.

JLM juga mengarahkan mereka supaya membuat laporan kemalangan tersebut dengan kadar segera namun berpuas hati kerana tiada apa-apa perkara buruk yang berlaku.