Wednesday, 1 February 2023

 

Penginapan pekerja warga asing, majikan perlu patuh syarat ditetapkan

  • Published in Semasa

KLANG, 25 Januari- Semua majikan perlu memastikan tempat penginapan pekerja warga asing, mematuhi syarat, yang ditetapkan.

Tegas Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar, keperluan itu bagi mengelak sebarang isu, jika berlaku sebarang bencana yang tidak diingini.

Antara kegagalan pematuhan syarat yang dikesan termasuk majikan didapati tidak menyediakan tilam, ruang memasak buruk dan bilik sempit.

"Kita akan buat lebih kerap lagi mungkin mereka rasa kekerapan kita memeriksa itu tiada tapi sekarang keadaan sudah berbeza. Dahulu kita bagi kelulusan, pemeriksaan kita buat sebelum kita bagi kelulusan sekarang lain pula, sekarang kita bagi kelulusan lepas itu baru kita buat pemeriksaan naziran. Ini akan jadi kaedah baru sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan untuk memastikan warga asing yang datang bekerja, kita akan datang memeriksa" ujar Sivakumar.


(Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar)

Beliau terdahulu menyertai Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di tiga kilang berasaskan produk kayu dan getah di Jalan Kapar, Klang, Selangor.

Turut serta, Timbalan Menteri Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sumber Manusia, A. Maniam.

Pemilik ketiga-tiga kilang itu akan didakwa, selepas kertas siasatan lengkap.

Ketika ditanya mengenai pindaan akta atau undang-undang sedia ada, Sivakumar berkata undang-undang tersebut telah memadai untuk memastikan majikan mengambil tindakan sewajarnya.