Wednesday, 1 February 2023

 

Penduduk terjejas banjir di Johor meningkat

  • Published in Semasa

JOHOR BAHRU, 25 Januari- Penduduk terjejas banjir di Johor terus meningkat kepada 3,967 orang membabitkan 1,104 keluarga setakat pukul 12.00 tengah hari.

Muar merupakan daerah terbaharu terjejas banjir menjadikan keseluruhan enam daerah terjejas sehingga kini, termasuk Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat.

Menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Segamat masih merekodkan penduduk paling ramai terjejas iaitu 1,417 orang di 16 PPS; diikuti 1,191 orang di 11 PPS di Kluang; 640 orang di empat PPS di Mersing, 568 orang di enam PPS di Kota Tinggi; serta 151 orang di dua PPS di Batu Pahat.

Sementara itu, dua PPS telah dibuka di Muar dan jumlah penduduk dipindahkan sedang dikemas kini.

Tiga sungai merekodkan aras bahaya iaitu Sungai Muar di Muara Sungai Gemas, Sungai Segamat di Segamat Kecil dan Sungai Kahang di Kampung Contoh Kluang.

(Foto fail)

Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi serta Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat masih ditutup untuk semua kenderaan.

Manakala Jalan Jemaluang-Batu Pahat di Mersing, Jalan Mawai Lama dan Jalan Tanjung Sedili di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan.