Wednesday, 1 February 2023

 

Amaran hujan tahap bahaya di Johor, Sabah

  • Published in Semasa

(Infografik MetMalaysia)

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Orang ramai yang berada di sekitar negeri Johor dan Sabah diingatkan supaya lebih berhati-hati dan peka susulan amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat bahaya dikeluarkan di beberapa daerah di negeri itu, hari ini.

Amaran itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan pada pukul 6.30 pagi tadi.

"Daerah di Johor yang terbabit adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, manakala di Sabah membabitkan daerah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat," menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan, hujan berterusan peringkat buruk dijangka berlaku di Pahang membabitkan daerah Pekan dan Rompin; Negeri Sembilan; Melaka serta tiga daerah lain di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.

"Amaran sama turut dikeluarkan untuk Sarawak iaitu di daerah Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Sarikei & Meradong), Mukah dan Bintulu (Bintulu) serta negeri Sabah iaitu di Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat dan Tawau (Lahad Datu).

"Amaran hujan berterusan peringkat waspada juga dikeluarkan di tiga daerah di Pahang iaitu Maran, Kuantan dan Bera serta Sarawak iaitu di Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) selain kawasan Togod di Sandakan, Sabah," katanya.

(FOTO BERNAMA)