Wednesday, 1 February 2023

 

Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau ditutup akibat tanah runtuh

  • Published in Semasa

KULAI, 25 Januari- Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) yang menghubungkan Seelong dan Felda Ulu Tebrau menghala Kota Tinggi, di sini, ditutup pada pukul 9.30 malam tadi susulan kejadian tanah runtuh.

Menerusi kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kulai, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia hadir ke lokasi untuk membuat pemantauan dan menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sementara selepas menerima laporan pada pukul 8.28 malam.

Jalan ditutup bermula dari persimpangan Jalan Kulai-Kota Tinggi (FT094) hingga ke Pusat Pelupusan Sampah SWM bagi melaksanakan pemeriksaan terperinci.

TMP dan papan tanda lencongan telah dipasang sebagai hebahan, selain memasang kanvas di lokasi tanah runtuh bagi mengurangkan hakisan lebih besar.

Kerja pemasangan kanvas dilakukan di lokasi tanah runtuh bagi mengurangkan hakisan
lebih besar

Tempoh penutupan akan ditentukan selepas pemeriksaan lanjut selesai.

Laluan alternatif dicadangkan ialah Felda Ulu-Tebrau-Jalan Seelong (J02); Jalan Lapangan Terbang Senai (FT16); Jalan Persekutuan Johor Bahru-Air Hitam (FT001); Jalan Kulai-Kota Tinggi (FT94); serta Jalan Kota Tinggi.