Wednesday, 1 February 2023

 

Pengeluaran KWSP, nasib pencarum perlu dipertimbang, kerajaan cari alternatif lain

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Nasib dan masa depan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dipertimbangkan sebelum membenarkan sekali lagi pengeluaran khas.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum itu sendiri.

Justeru tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terjejas serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik sebelum ini.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Kalau tengok orang-orang yang simpan KWSP, duit itu sedikit sekali. Jadi saya perlu pertimbang tentang keperluan yang mendesak dan juga masa depan mereka. Terlalu kecil saya semak jumlah yang ada majoriti pencarum itu sangat kecil. Saya bimbang tentang masa depan mereka.

"Jadi lebih baik kerajaan cari jalan untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di Perlis.

Semalam, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM30,000 sebagai langkah penyelesaian jangka pendek supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.