Wednesday, 8 February 2023

 

Banjir kilat dijangka di lapan daerah di Perak, Selangor

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di lapan daerah di Perak dan Selangor.

Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah Daerah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat serta kawasan sekitarnya), Daerah Hilir Perak (Changkat Jong serta kawasan sekitarnya), dan Daerah Perak Tengah (Pasir Salak, Pasir Panjang Hulu, serta kawasan sekitarnya).

Di Selangor melibatkan Daerah Klang (Pekan Kapar dan kawasan sekitarnya), Daerah Hulu Langat (Hulu Langat dan kawasan sekitarnya), Daerah Kuala Langat (Pekan Jenjarom, Kelanang dan kawasan sekitarnya), Daerah Kuala Selangor (Pekan Bestari Jaya serta kawasan sekitarnya) serta Daerah Petaling (Petaling, Pekan Serdang serta kawasan sekitarnya).

Notis yang dikeluarkan pada pukul 5.00 petang tadi itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

Sementara itu, MetMalaysia, dalam kenyataan berasingan, turut mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bermula hari ini hingga Ahad ini bagi kawasan pantai timur dan utara Semenanjung.

Berdasarkan analisis model-model cuaca, angin timuran kencang dijangka bertumpu di kawasan terbabit dan keadaan itu berpotensi menghasilkan hujan berterusan.

(Foto fail)

Sehubungan itu, MET Malaysia mengemaskini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan negeri Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa sehingga Sabtu ini.

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan https://publicinforbanjir.water.gov.my atau semua media sosial rasmi jabatan terlibat bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.