Wednesday, 8 February 2023

 

Kempen kesedaran Talasemia ‘NowyouSEEme 2.0’ tingkat literasi murid

  • Published in Semasa

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Kempen ‘NowyouSEEme 2.0’ yang telah berlangsung selama lima bulan merupakan salah satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan literasi murid sekolah dan ibu bapa tentang penyakit Talasemia.

Sempena sambutan Hari Talasemia Sedunia 2022, KKM bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bekerjasama dengan Hibiscus Petroleum Berhad dan sebanyak 70 buah sekolah di seluruh negara telah turut serta dalam program ini.


(Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah / Foto Bernama)

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, penyakit Talasemia merupakan salah satu penyakit genetik darah yang boleh diwarisi melalui gen Talasemia daripada ibu bapa.

"KKM menganggarkan bahawa setiap seorang dari 20 rakyat di negara ini merupakan pembawa gen Talasemia dan sekiranya kedua-dua ibu bapa adalah pembawa gen Talasemia, berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi berpenyakit Talasemia adalah tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesakit yang menghidap Talasemia tidak berupaya menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dan kuantiti yang mencukupi.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit Talasemia perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sehingga satu atau dua kali sebulan sepanjang hidup.

"Sehubungan dengan itu, kempen ‘NowyouSEEme’ ini memberi peluang lebih luas kepada murid dan warga sekolah menengah untuk mengenali dan memahami penyakit Talasemia melalui aktiviti yang dijalankan menerusi portal dalam talian dan secara bersemuka.

"Capaian aktiviti di media sosial juga amat memberangsangkan yang mana sebanyak 20,000 jangkauan di Instagram dan 60,000 jangkauan di Facebook telah direkodkan," katanya.

Selain itu, sebanyak 20,000 jumlah tontonan video di YouTube, dan sebanyak 40,000 tontonan video di Tiktok juga telah tercapai.

Bagi memperkukuhkan kempen kesedaran tentang penyakit Talasemia ini, KKM ingin menyeru agar seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta mempertingkatkan kesedaran untuk membendung penyakit Talasemia dan menjalankan ujian saringan genetik untuk mengenal pasti pembawa gen Talasemia.

Pencegahan penyakit Talasemia ini penting kerana ia boleh membawa komplikasi kematian disebabkan oleh kesan anemia yang serius, kegagalan organ seperti jantung, dan jangkitan kuman.

Pihak KKM juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Hibiscus
Petroleum Berhad yang turut serta menjayakan kempen pada tahun ini.

KKM berharap agar kerjasama padu ini diteruskan dalam usaha menyampaikan maklumat dan meningkatkan literasi masyarakat khususnya murid sekolah tentang penyakit Talasemia serta kepentingan mengetahui status Talasemia masing-masing.