Wednesday, 8 February 2023

 

Undang-undang kunci tayar MPKB disemak semula

  • Published in Semasa

KOTA BHARU, 8 Disember- Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Bandaraya Islam perlu menyemak semula undang-undang kunci tayar kenderaan yang dijalankan sejak tahun 2000.

Peguam dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates, Hisyam Fauzi berkata, ia berikutan tindakan yang dibuat oleh MPKB-BRI tidak sah terhadap kenderaan yang mempunyai tunggakan kompaun.


(Peguam dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates, Hisyam Fauzi)

Beliau berkata, tindakan yang terkandung dalam Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires iaitu bertentangan dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, dalam konteks parkir kereta, undang-undang utama adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan undang-undang yang dibuat di peringkat Perintah Pengangkutan Jalan adalah undang-undang anak yang tertakluk kepada APJ.

Menurutnya, perintah pengangkutan jalan MPKB-BRI itu tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk membuat undang-undang kecil berkaitan jalan raya malah APJ memperuntukkan bahawa perlu mendapat kebenaran bertulis dari menteri dan undang-undang itu diwartakan dalam gazet.

"Dua isu utama, pertama ultra-vires sebab kunci tayar itu melebih kuasa dalam akta, kata yang boleh adalah denda, tetapi MPKB kunci itu satu, yang kedua ialah isu konsen menteri itu dua isu utama yang mahkamah buat senarai tadi,"katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya hari ini secara sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Keputusan itu dibuat berhubung kes seorang kerani di sebuah syarikat swasta di sini, yang kenderaannya dikunci tayar pada Julai 2019 atas kesalahan mempunyai tunggakan kompaun sebelum ini.

Hisyam mengetuai kumpulan peguam mewakili plaintif yang berusia 33 tahun itu berkata, kaedah yang betul untuk menyelesaikan isu tunggakan berkenaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu bawa tuntutan itu ke mahkamah.