Wednesday, 8 February 2023

 

Wanita ditahan cuba langgar, bunuh anggota polis

  • Published in Semasa

(Foto hiasan)

BATU GAJAH, 5 Disember- Takut dan tertekan dipercayai menjadi punca seorang wanita tempatan,39, bertindak melulu melarikan diri sebelum melanggar lima kenderaan polis di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2.50 pagi itu, anggota Balai Polis Batu Gajah mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pejabat Pos di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pemandu itu kemudian bertindak melarikan diri dengan memandu kenderaan secara melulu dan berbahaya sebaik melihat kehadiran polis.

"Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Batu Gajah, lima kereta peronda (MPV) Batu Gajah dan Kampar serta dua kenderaan dari Balai Polis Kuala Dipang dan Gopeng telah mengejar dan mengekori kenderaan suspek.

"Suspek memandu menghala ke Jalan Gopeng, Jalan Ipoh-Kampar, Jalan Malim Nawar sebelum berhenti di jalan mati di Malim Nawar, Kampar," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, semasa di lokasi jalan mati itu, suspek cuba melanggar seorang anggota polis ketika mengundurkan kenderaan serta melangar beberapa kenderaan polis dan melarikan diri.

"Ketika suspek mengundurkan kenderaannya juga, (suspek) telah cuba untuk melanggar seorang anggota polis di belakang kenderaannya.

"Anggota polis tersebut telah melepaskan satu das tembakan pada tayar belakang kiri kenderaan suspek.

"Bagaimanapun, suspek terus memandu kenderaan melarikan diri. Semua elemen terus mengejar dan mengekori kenderaan suspek.

"Sampai di kilometer (km) 29 Jalan Ipoh-Lumut (arah Lumut), kenderaan suspek telah berhenti akibat kerosakan teruk pada enjin dan tayar," katanya.

Menurut Mohamad Roy, suspek berjaya ditahan sekitar jam 5 pagi dan pemeriksaan pada kenderaan suspek tidak menemukan sebarang objek mencurigakan atau barang terlarang.

"Siasatan lanjut mendapati suspek yang menetap di Lumut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing didapati negatif.

"Motif suspek bertindak lari daripada pemeriksaan dan melanggar kenderaan polis dipercayai kerana takut dan marah akibat tekanan hidup," katanya.

Tambah beliau, suspek dan kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk tindakan lanjut.

Suspek direman selama lima hari sehingga Selasa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya.

(Foto hiasan)