Wednesday, 8 February 2023

 

Harga telur ayam lebih murah diumum esok - PM

  • Published in Semasa

(Foto Afiq Hambali/PMO)

PUTRAJAYA, 5 Disember- Harga telur ayam baharu yang lebih rendah akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah beliau berbincang dengan menteri berkenaan.

Anwar berkata, pengumuman itu bakal mengurangkan kebergantungan bekalan telur terhadap kartel.

"Perincian lebih lanjut mengenainya akan diumumkan beliau pagi esok. Harga telur yang akan diumumkan esok diharapkan lebih murah dan mengurangkan kebergantungan kepada kartel," katanya pada sidang media di sini.

Dalam sidang media sama, Anwar memberi jaminan dasar yang dirangka pentadbiran terdahulu akan diteruskan jika ia baik dan tidak bermasalah.

Tambah beliau, Rang Undang-undang (RUU) yang masih di peringkat perbahasan ketika Parlimen dibubarkan juga akan diteliti.

"Yang baik, perjanjian baik, kontrak yang baik, tidak ada masalah, kita akan ikut. Jika jelas umpamanya tender tu berbilion (ringgit) tidak ikut perolehan atau projek yang diluluskan berbilion, ratus bilion tidak ikut tender, tidak ikut proses, tentu kita harus teliti semula.

"Ini bukan wang saya, ini wang rakyat," katanya lagi.

(Foto BERNAMA)