Wednesday, 8 February 2023

 

ATM rancang ganti aset lama MALBATT di Lubnan

  • Published in Semasa

(Yazid Arshad)

PORT DICKSON, 5 Disember- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perancangan untuk menggantikan aset lama yang digunakan oleh Kontinjen Batalion Malaysia (MALBATT) dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad berkata, penggantian aset tersebut melibatkan kira-kira 39 unit kereta perisai Condor yang digunakan sejak 2006.

"Kita rancang membuat perolehan 20 kenderaan jenis Armor bagi menggantikan kenderaan Condor yang kita miliki sekarang, secara berfasa yang diperoleh antara 2026 hingga 2028," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-9, di sini.

Beliau berkata, ATM turut merancang perolehan 59 High Mobility Light Tactical Vehicle yang akan dilaksanakan oleh tentera darat dalam meningkatkan keupayaan operasi.

Ujarnya lagi, meskipun telah berusia, aset berkenaan masih boleh beroperasi dengan baik berikutan penyelenggaraan yang sistematik, malah selain Lubnan ia juga digunakan di Somalia serta Bosnia Herzegovina.

Seramai 854 anggota terdiri dari 83 pegawai dan 771 anggota pangkat-pangkat lain dianugerahkan Pingat PNBB dan Kontinjen MALBATT 850-9 dalam majlis tersebut.

Pemakaian pingat itu adalah sempena pelaksanaan misi UNIFIL bermula 13 November 2021 hingga 12 November 2022.

(Pegawai dan anggota MALBATT 850-9)