Wednesday, 8 February 2023

 

6 projek baharu bakal dibangunkan di Bio Desaru

  • Published in Semasa

(Foto hiasan)

ISKANDAR PUTERI, 5 Disember- Enam projek baharu dengan nilai pelaburan RM792 juta dijangka dibangunkan di kawasan Bio Desaru, Kota Tinggi, Johor tahun depan.

Ia merupakan usaha yang dilakukan bagi mencapai matlamat Johor sebagai Bakul Makanan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata, usaha itu membabitkan pelabur-pelabur dalam negeri dan luar negara.

Antara projek yang bakal dibangunkan ialah pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran Bio Desaru dengan anggara kapasiti pengeluaran RM10,000 sebulan.

Projek penternakan ikan menggunakan Malaysia Recirculated Aquaculture System (RAS) 2020 turut dibangunkan dengan anggaran pengeluaran 10,000 tan ikan setahun.

"Lembah Makanan Bio Desaru dibangunkan dengan misi untuk menyahut usaha kerajaan Negeri Johor ke arah memperkukuh rantaian pengeluaran makanan dengan memperluaskan aplikasi bioteknologi secara berkesan dalam mengkomersialkan pertanian selain menitikberatkan bio-sekuriti dan pemeliharaan ekologi," katanya semasa sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, Johor.

(Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, Johor)

Kerajaan negeri juga akan membangunkan projek ternakan udang dan akuapelancongan dengan anggaran pengeluaran 4,500 tan udang setahun.

Projek tanaman nanas MD2 pula dianggarkan dengan pengeluaran 540,000 biji nanas.

Bagi tanaman kontan ianya akan menghasilkan 598,000 kilogram tanaman kontan seperti lada, bendi dan pisang berangan dalam setahun.

Selain itu, projek tanaman kelapa pandan dan pisang berangan melibatkan anggaran pengeluaran masing-masing 1.15 juta biji kelapa dan 450,000 kilogram pisang setahun.

Pembangunan Integrated Sustainable Food Production Zone turut dibangunkan dengan anggaran pengeluaran 2,000 tan sayur-sayuran dan ikan setahun.

Setakat ini, lembah makanan Bio Desaru sudah mempunyai 29 projek merangkumi projek siap, sedang dibangunkan dan belum bermula menerusi perjanjian kerjasama antara Bio Desaru Sendirian Berhad dan melibatkan 23 syarikat pelabur dengan jumlah pelaburan keseluruhan RM1.138 bilion ringgit.

Daripada jumlah itu, hanya 18 projek masih aktif setakat ini.