Wednesday, 8 February 2023

 

Jemaah Menteri setuju potong gaji 20%

  • Published in Semasa

(Anwar berkata, pemotongan gaji Jemaah Menteri sebagai semangat
keprihatinan terhadap masalah rakyat/Afiq Hambali,PMO)

PUTRAJAYA, 5 Disember- Jemaah Menteri bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20% sehingga ekonomi negara pulih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemotongan itu akan dilaksanakan setiap bulan sebagai semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.

Anwar berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Kabinet hari ini.

"Jemaah menteri bersetuju atas keprihatian kepada rakyat untuk memotong gaji setiap bulan sebanyak 20%.

"Pemotongan ini sehingga ekonomi negara pulih. Kalau tiga tahun diperlukan untuk pulihkan ekonomi, maka tiga tahunlah gaji jemaah menteri akan dipotong," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Anwar turut mengesahkan bahawa beliau tidak mengambil gaji sebagai Menteri Kewangan.

“Ada yang kata Anwar tak terima gaji Perdana Menteri kerana dia ambil gaji Menteri Kewangan, itu tidak benar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berterima kasih kepada barisan Jemaah Menteri kerana bersetuju dengan pemotongan gaji berkenaan walaupun menurut beliau ia satu tindakan tidak wajar.

“Pemotongan gaji ini tidak wajar dan saya berterima kasih dengan kesediaan mereka (barisan Kabinet,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah dua Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

(Anwar bersama dua TPM, Ahmad Zahid dan Fadillah Yusof
serta KSN, Mohd Zuki/Afiq Hambali,PMO)