Wednesday, 1 February 2023

 

Tiga rakan sekerja maut, lima cedera nahas dua kenderaan

  • Published in Semasa

KLUANG, 29 November - Tiga rakan sekerja sebagai tukang gunting rambut maut selepas Proton Wira dinaiki mangsa hilang kawalan lalu bertembung sebuah di Kilometer 15, Jalan Kluang - Teck Wah Hing, di sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata lima lain lagi cedera dalam kemalangan itu.

Bahrin berkata dua yang meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira pukul 4 petang itu terdiri daripada pemandu kereta Muhammad Haziq Haiqal Mohd Faizal, 20, dan penumpang Muhammad Khairil Rosli, 17.

Seorang lagi penumpang di tempat duduk hadapan kereta Ariffudin Khairum Ab Ghafar, 21, pula meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah van dari arah Renggam menghala ke Kluang.

"Manakala Proton Wira dinaiki mangsa dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira disyaki hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.

"Akibat dari perlanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang Proton Wira mengalami kecederaan yang teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

(FOTO ihsan pembaca)


Bahrin berkata semua penumpang kereta berkenaan bekerja sebagai tukang gunting rambut di Kluang.

"Pemandu van berusia 43 tahun bersama isterinya berusia 42 dan dua anak mereka masing-masing berusia 15 dan 11 tahun cedera dan menerima rawatan di HEBHK," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, media melaporkan tiga maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dengan sebuah van di Jalan Sungai Sayong, Simpang Renggam di sini lewat petang Isnin.