Wednesday, 8 February 2023

 

Notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dikeluarkan

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 28 November - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di beberapa kawasan di Johor, Perak, Kedah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

JPS dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

Di Johor, kawasan berisiko terjejas ialah Johor Bahru (Jelutong, Tanjong dan Kupang) serta Pontian (Jeram Batu, Sungai Karang serta kawasan sekitarnya) manakala di Perak melibatkan Larut, Matang dan Selama (Hulu Selama, Hulu Ijok dan Selama).

Di Kedah pula melibatkan Bandar Baharu (Sungai Batu) serta Kulim (Terap); Temerloh (Semantan) dan Bentong (Sabai serta kawasan sekitarnya) di Pahang; Hulu Selangor (Ulu Bernam) serta Hulu Langat (Ulu Langat) di Selangor selain Jelebu (Kenaboi, Glami Lemi serta kawasan sekitarnya) dan Kuala Pilah (Langkap serta kawasan sekitar) di Negeri Sembilan.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” kata kenyataan itu.

(FOTO HIASAN)

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.