Wednesday, 8 February 2023

 

Sokongan keluarga dorongan utama lengkap PhD pada usia 63 tahun

  • Published in Semasa

(Penerima PhD Dr Lee Kwee Tiong memulakan pengajian di peringkat PhD
dalam bidang pertanian pada tahun 2015 ketika berusia 56 tahun)

SERDANG, 28 November- Kejayaan menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 63 tahun ibarat mimpi indah bagi Dr Lee Kwee Tiong.

Beliau yang menerima PhD di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46, masih tidak percaya mampu bergelar doktor falsafah pada usia emas.

Lee memulakan pengajian di peringkat PhD dalam bidang pertanian pada tahun 2015 ketika berusia 56 tahun.

Mengakui hampir putus asa di pertengahan jalan, namun sokongan keluarga menjadi dorongan utama untuk terus konsisten melengkapkan pengajian.

"Siap sedia dulu dari segi perlu ada latar belakang kaedah penyelidikan. Kena banyak baca buku atau bahan penyelidikanlah. Kalau tidak memang susah saya pun menghadapi masalah.

"Separuh jalan pun fikir hendak berhenti juga sebab sudah memang tidak tahu hendak jalankan sebab PhD tidak macam ijazah ataupun macam master ada orang boleh bantu. Tapi PhD pensyarah saya kata ini semua bergantung pada awak.

"Awak buat apa yang awak boleh buat yang awak rasa betul memang takde betul atau salah sebenarnya," kata Lee.

Tambahnya, beliau bersyukur dapat memanfaatkan usia emasnya dengan menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu sepanjang melanjutkan pengajian di peringkat PhD.


(Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46)