Tuesday, 29 November 2022

200 pusat pengumpulan e-waste, lupus dengan kaedah betul dan mesra alam

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) untuk dileraikan masih ditahap rendah kerana pengumpulan barangan itu setakat ini kurang daripada 10 peratus.

Dari Januari hingga September tahun ini, sebanyak 2,141 tan metrik e-waste berjaya dikumpulkan di seluruh negara.

Jelas Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar, Dr. Norhazni Mat Sari melalui pelan strategik JAS dalam tempoh 10 tahun, ia perlu mendapatkan lebih daripada lima peratus bagi memastikan peralihan dimensi sektor buangan kepada waste to wealth dan waste as resources.

"Dari kesedaran kalau kita nak kata sebab kita buat program ini dengan bantuan JICA juga dengan program Japanese International Coorporation Agency, jadi pelonjakan dari segi pengumpulan itu memang banyak.

"Tetapi dari segi penglibatan orang ramai, mungkin saya boleh katakan dalam satu ke lima peratus sahaja," katanya pada Majlis Perasmian Karnival Jom E-Waste, di sini.

(Dr. Norhazni Mat Sari)

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mengurus dan melupuskan e-waste dengan kaedah yang betul dan mesra alam.

Dalam mempersiapsiagakan persekitaran yang menyokong pelaksanaan konsep ekonomi kitaran dalam pengurusan e-waste, terdapat 200 pusat pengumpulan e-waste yang telah berdaftar di seluruh negara.