Friday, 9 December 2022

Bajet 2023 : PM yakin dapat sokongan ahli parlimen

  • Published in Semasa

(Foto hiasan)

PUTRAJAYA, 3 Oktober- Perdana Menteri yakin Bajet 2023 yang bakal dibentang pada Jumaat akan mendapat sokongan Ahli Parlimen supaya diluluskan.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bajet ini merupakan bajet untuk rakyat.

Dan jika pembangkang tidak setuju dengan bajet ini bermakna pembangkang tidak setuju dengan apa yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan katanya sentiasa terbuka dan bersedia menerima pandangan daripada pihak pembangkang berkaitan Bajet 2023.

Datuk Seri Ismail Sabri menyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Putrajaya.

Mesyuarat selama 90 minit itu, turut dihadiri Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Mesyuarat pramajlis itu diadakan bagi persediaan Sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini hingga 29 November.

(Foto hiasan)