Thursday, 8 December 2022

Lebih 10,000 PPS seluruh negara bakal diwartakan bagi persiapan banjir

  • Published in Semasa

SHAH ALAM, 2 Oktober- Dianggarkan lebih 10,000 pusat pemindahan sementara (PPS) bakal diwartakan jika sekolah berasrama penuh turut dijadikan fasiliti berkenaan bagi persiapan menghadapi bencana banjir hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sehingga kini kementeriannya telah mengenal pasti 6,010 PPS untuk menempatkan mangsa banjir di seluruh negara.

Katanya jumlah itu meliputi sekolah, balai raya, dewan dan pada masa sama fasiliti ini juga akan dijadikan sebagai pusat pembuangan undi, serta pusat daerah mengundi.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Datuk Seri Rina Mohd Harun/BERNAMA)

“Sebab itu dalam keadaan sekarang kita perlu rasional. Jika diadakan pilihan raya sekarang, bermakna ia di waktu kita ramalkan banjir akan berlaku.

“Kita nak jadikan PPS atau nak dijadikan tempat membuang undi? Semangat kita berkobar untuk pilihan raya tapi dalam masa masalah rakyat juga perlu diutamakan,” katanya dalam ucapan dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor di sini hari ini.

Negara diramal mengalami fasa peralihan monsun bermula pada esok hingga November ini yang berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.- BERNAMA