Thursday, 8 December 2022

Perancangan keluarga secara moden, masih rendah

  • Published in Semasa

('Take Control 2022’ membincangkan perancangan keluarga secara moden)

KUALA LUMPUR, 29 September- Konsep perancangan keluarga masih relevan biarpun Kadar Kesuburan Total (TFR) wanita di negara ini menurun kepada 1.7 anak pada 2020 iaitu di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita.

Pegawai Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Wan Hilya Munira Mustapha berkata kadar penggantian 2.1 anak ialah bilangan yang ideal bagi seorang wanita untuk mengganti ibu bapanya (dua orang).

“Kita mahu masyarakat menambah bilangan anak dan menstabilkan TFR secara sihat, kalau jarak antara anak itu pendek ia kurang sihat. Kalau ibu yang ada penyakit kronik dan mengandung, ia akan berisiko tinggi.

"Sebab itu perlu guna pil perancang keluarga untuk stabilkan masalah kesihatan sehingga sesuai untuk mengandung dengan keadaan yang kurang berisiko,” katanya ketika menjadi tetamu forum 'Take Control 2022’ pada Rabu.

Paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seseorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak itu melahirkan anak.

Menurutnya konsep perancangan keluarga juga membantu dalam memastikan kadar kematian ibu mengandung rendah, sekali gus memastikan wanita di negara ini bersedia untuk kehamilan yang sihat dan selamat bagi kedua-dua ibu serta bayi yang bakal dilahirkan.

Justeru, Dr Wan Hilya berkata kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut komited dalam mendidik generasi baharu berkaitan perkara itu dengan melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti) 2022 hingga 2025, pada awal bulan ini.

(Dr Wan Hilya Munira Mustapha, Pegawai Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia, LPPKN)

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi yang juga Pengasas dan Pengarah Akademi Dr Har, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj @ Ramli berkata kebanyakan wanita tidak mahu menggunakan pil perancang keluarga kerana bimbang terhadap kenaikan berat badan.

“Itu mitos yang membuatkan ramai tidak mahu ambil pil perancang sebab takut berat badan meningkat. Kalau kalau ikut kajian berat badan meningkat hanya 1.5 kilogram (kg) hingga dua kg daripada berat asal,” katanya.

Menurutnya pil perancang bukan sahaja mampu mengelakkan kehamilan yang tidak diingini, malah boleh merawat jerawat dan melicinkan kulit muka serta mengawal senggugut yang melampau, selain menstabilkan hormon yang akan membuatkan haid lebih teratur.

Ahli Farmasi daripada CARiNG Pharmacy Fatin Zafira Mohd Yassim berkata masyarakat perlu mengubah stigma bahawa pendidikan seks tidak wajar didedahkan kepada remaja kerana dengan pendidikan itu mereka akan mengetahui tentang akibat perbuatan yang dilakukan.

“Kalau kita tidak didik mereka, macam mana kita nak buat langkah awal pencegahan dan mereka tak akan tahu apa yang membawa kepada kehamilan. Jadi kita perlu mulakan langkah pertama (pendidikan) dan jangan takut untuk uar-uarkan kepentingan pendidikan seks,” katanya.- BERNAMA