Thursday, 8 December 2022

'Geng Ameer' tumpas, 10 kes kecurian motosikal, selesai

  • Published in Semasa

(Beh Eng Lai bersama motosikal yang dirampas)

KUALA LUMPUR, 29 September- Sindiket curi motosikal di sekitar Lembah Klang didalangi 'Geng Ameer', tumpas, sekali gus menyelesaikan 10 kes kecurian, iaitu enam di Sentul dan empat di Gombak.

Enam buah motosikal pelbagai jenama itu turut ditemui dan dianggarkan bernilai RM60,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, enam suspek berusia 26 hingga 35 ditahan di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor menerusi Op Roda pada 20 September lalu.

Beliau turut menjelaskan, "beberapa komponen motosikal turut dirampas. Antaranya tiga unit mesin pengisar, dua unit mesin gerudi serta mesin penggodam disyaki digunakan untuk mencuri motosikal turut dirampas.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini didalangi seorang lelaki dengan nama panggilan 'Ameer'."

Hasil siasatan mendapati, motosikal curi tersebut akan diubah suai sebelum dijual antara RM2,000 hingga RM5,000.

Suspek turut menjual komponen motosikal yang dicuri dengan anggaran RM50 sehingga mencecah RM4,000, bergantung kepada permintaan.

Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket curi motosikal diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222.

(Antara barangan rampasan yang digunakan untuk mencuri komponen motosikal)